Seramai 24 migran etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat, Langkawi.
Kejadian dilaporkan pada jam 8 malam tadi dan maklumat mengenainya diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daripada seorang etnik Rohingya.
Pengadu dikenali Nor Hossain, 27, yang juga migran memaklumkan dia terjun dari sebuah bot membawa 24 etnik terbabit dan mendakwa hanya dia yang terselamat.
Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak bot Pelindung 2 ke lokasi kejadian, sejurus menerima laporan polis pada 10.30 malam tadi.
“Operasi mencari dan menyelamat hari ini diteruskan melibatkan dua aset kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland, AW139.
“Sektor carian merangkumi kawasan seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Langkawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zawawi berkata, pihaknya telah menyalurkan maklumat kepada agensi penyelamat lain termasuk komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand melalui Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian.
“Komuniti maritim boleh melaporkan sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 atau mhubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307,” katanya.
Mohd Zawawi berkata pengadu terbabit kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

