Lelaki cedera di Bukit Apek meninggal dunia

0
4
FOTO Hiasan

SEORANG lelaki yang dilaporkan cedera ketika mendaki Bukit Apek, Hulu Langat, Selangor, pagi semalam, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian hari sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Zafiruddin Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan insiden itu pada jam 4.34 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berusia 21 tahun itu dimulakan pada jam 5 petang selepas menerima panggilan daripada abangnya.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kawasan pencawang di bukit itu.

“Mangsa dibawa turun dan pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian sahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat manakala kes itu diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. -Malaysiapost