KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas ketiadaan ramai menteri yang didakwa ‘lari’ daripada tanggungjawab ketika beberapa negeri dilanda banjir bulan lalu.
Anwar dilihat seperti memulang paku buah keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu mendakwa tiada kelibat wakil rakyat pembangkang turun padang membantu mangsa banjir.
“Ramai menteri hilang semasa banjir dan lari daripada tanggungjawab membantu rakyat yang terkesan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, walaupun Perdana Menteri sendiri turun padang ketika banjir, beliau mempersoalkan mengapa ada kalangan anggota Jemaah Menteri bertindak sebaliknya.
“Banyak menteri hilang, tidak dilihat di lapangan. Ada yang memilih untuk menjalani umrah, rakyat mati, rumah hanyut dan kita pilih untuk melaksanakan umrah. Ini perlu diperbetulkan.
“Walaupun pergi sebelum (banjir), balik segeralah apabila banjir melanda dan tunaikan tanggungjawab anda sebagai menteri. Saya bercakap tentang keutamaan di sini,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu. – Malaysiapost

