Netizen simpati, hulur wang pada warga emas diherdik anak lepas minta RM100

0
3

Nurul Huda Abhar

PERASAAN simpati dan kasihan pastinya terbit apabila melihat wajah sugul warga emas yang ‘makan hati’ dengan sikap anak mengherdiknya walaupun dalam panggilan telefon.

Satu video tular di laman Tiktok @AkuPeduliOfficial memaparkan situasi seorang lelaki warga emas di sebuah premis makanan menelefon anaknya meminta RM100 bagi tujuan membaiki alat pendengaran yang rosak.

https://vt.tiktok.com/ZSe4DfCfS/

Dalam perbualan panggilan itu, reaksi anak warga emas tersebut yang dipanggil Man seperti tidak mahu berbual lama atas alasan sibuk dan meninggikan suara apabila diberitahu bapanya memerlukan wang.

Dalam nada hiba, warga emas itu menjawab Man adalah satu-satunya anaknya, dan sebab itu dia meminta wang daripada Man.

Panggilan tersebut dibuat secara ‘loud speaker’ turut didengari beberapa pelanggan yang menjamu selera di meja berhampiran.

Kemudian, seorang wanita yang duduk di sebelah meja warga emas tersebut menegurnya dan bertanya sama ada anaknya bersetuju untuk memberikan wang atau tidak.

Melihat warga emas itu menggelengkan kepala, lantas wanita tersebut dan rakannya menghulurkan wang untuk membantu.

“Tengok pakcik teringat arwah ayah saya. Pakcik jangan sedih,” kata wanita itu.

Difahamkan, video tersebut dibuat sebagai eksperimen sosial di tempat awam bagi menilai keprihatinan orang ramai.

Dalam video itu juga dilihat seorang wanita mempelawa makanan kepada warga emas itu, manakala seorang lelaki duduk di sebelahnya untuk bertanya lanjut berkenaan masalah dihadapi warga emas tersebut.

Menerusi video eksperimen sosial itu, dapat disimpulkan bahawa masih ramai yang prihatin, baik hati sesama kita dan nilai tolong menolong tetap mekar di hati setiap rakyat Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here