KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menyiasat isu makanan kepada murid di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dikatakan hanya nasi putih dan kuah, seperti tular di media sosial semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya memandang serius isu tersebut dan sedang mengenal pasti sekolah yang terlibat.
“Malam tadi saya dimaklumkan tentang satu hantaran di Facebook yang tular mengenai gambar nasi putih dan kuah yang didakwa sebagai makanan kepada murid di bawah RMT.
“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat.

“KPM tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, tular di laman Facebook seorang murid penerima RMT dikatakan diberikan nasi putih dan kuah sahaja di sekolah.
Seorang pengguna laman itu memuat naik gambar makanan itu sambil mempersoalkan peruntukan kerajaaan dalam program tersebut.
“Cucu saudara bawa balik dekat mak dia makanan RMT. Sedih betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah?
“Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?” soalnya.
Katanya lagi, sebelum ini kerap pelajar mengadu makanan RMT tidak sedap, namun apabila melihat sendiri makanan yang mereka terima ianya sangat menyedihkan.
“Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tidak sedap, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tetapi, ini makanan untuk siapa? Ayam? Tidak tahu salah siapa dalam hal begini.
“Saya rasa perlu disiasat kenapa diberi makanan seperti ini kepada penerima RMT. Sudahlah senarai penerima RMT wajib sekolah hari-hari tanpa penggiliran. Makanan begini yang dikatakan ‘mampu memacu pendidikan kita?,” ujarnya. – Malaysiapost

