Penilaian risiko, SOP umrah dimuktamad pertengahan Februari

0
2

KERAJAAN komited memuktamadkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan bersama, berkata kedua-dua kementerian itu hari ini telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (UMRAH).

Katanya, sesi berkenaan diadakan bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

“Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan.

“Selain itu, isu lain yang berbangkit termasuk perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan.

“Cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing ini akan diperhalusi sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang.

“Khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua menteri komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan berkenaan, kerajaan amat prihatin dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan negara.

“Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here