UPM mampu lahirkan ramai graduan PhD

0
2

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin membandingkan bilangan 398 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UPM dengan universiti ulung dunia, yang didakwa hanya menganugerahkan 20 penerima PhD, adalah mengelirukan dan tidak tepat.

Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM berkata, jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh Universiti Penyelidikan.

Menurutnya, ini selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia di mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti.

“UPM sebagai salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam terus menyumbang meningkatkan penyelidikan dan mengeluarkan modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.

“Justeru, berkaitan dengan dakwaan penulis bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun, adalah tidak benar.

“Ia kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 2020 telah mengeluarkan 563 graduan PhD, manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan PhD, dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University Ranking 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, kaedah Pengajian Doktor Falsafah di UPM adalah melebihi syarat minima yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

Jelasnya, tempoh Pengajian Doktor Falsafah adalah dalam lingkungan tiga hingga lima tahun di mana pelajar yang mengikuti pengajian ini wajib untuk membuat penyelidikan dan mengikuti minima 12 jam kredit kursus.

“Selain itu, pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus Peperiksaan Komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun kedua bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

“Pelajar juga perlu menghasilkan Tesis yang merupakan syarat wajib lulus untuk dianugerahkan Ph.D. Tesis pelajar dinilai oleh sekurang-kurangnya tiga orang penilai yang terdiri daripada seorang penilal luar (universiti luar negara seperti US, UK, Australia dan sebagainya) dan dua lagi penilai dalaman, serta perlu lulus peperiksaan viva voce,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selain itu, Senat UPM turut menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan PhD yang dihasilkan.

“UPM mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD seramai 1,649 orang yang layak menyelia pelajar Ph.D. Ini mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan PhD dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Maka, ingin ditegaskan sekali lagi, jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM bagi konvokesyen kali ke-44 bagi kohort pelajar 2020 merupakan hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

“Serta telah dinilai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menjamin kualiti sebagai bukti pendidikan tinggi di Malaysia adalah diiktiraf dan setaraf dengan amalan di peringkat antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here