
ISU sistem pembayaran transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) semakin hangat diperkatakan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus mendapat kecaman daripada pengguna yang berdepan kesulitan menggunakan sistem berkenaan.
Terbaharu PLUS dikatakan terpaksa menutup ruangan komen di laman Facebook rasminya selepas ramai pengguna lebuh raya meluahkan tidak puas hati dengan penggunaan RFID, sebelum dilaporkan membuka kembali ruangan komen beberapa jam kemudian
Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang berpendapat pihak berkaitan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan pengguna mengenai sistem berkenaan.
Menurutnya, media turut melaporkan Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, mengarahkan PLUS dan Touch ‘n Go (TNG) supaya memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan RFID.
“Banyak soalan pengguna nak tahu. Antaranya kenapa kos sticker (pelekat) sampai RM35? Semua kereta kena ada.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pun kena masuk campur.
“Berapa kos sebenar nak buat sticker? Ada undang-undang anti-pencatutan atau larangan mengambil untung berlebihan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menegaskan, bisnes yang dijalankan PLUS ialah menguruskan lebuh raya dan bukannya bisnes pelekat.
“PLUS jangan dilihat cepat koyak. Macam sticker juga,” katanya.
Semalam, pihak PLUS dilaporkan bertindak membuka semula ruangan komen di laman Facebook rasminya selepas beberapa jam ditutup kerana dikatakan menerima kritikan dan luahan ketidakpuasan hati dari pengguna lebuh raya terhadap RFID.
PLUS mengumumkan peralihan kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula Sabtu lalu.
Namun terdapat pengguna yang berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol dan rata-rata pengguna berharap lorong Smart Tag dan Touch n Go tidak tutup serta mencadangkan penambahbaikan sistem RFID. – Malaysiapost
