‘Umno sedia pertimbang kemasukan Muhyiddin jika ada permohonan’

0
3

Umno sedia membincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertingginya (MT) jika ada permohonan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menyertai parti itu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini hanya jemputan perbadi daripada pemimpin Umno kepada Presiden Bersatu itu.

“Kalau yang dah keluar parti dan nak masuk balik kita akan bawa ke mesyuarat majlis tertinggi. Itu pun berdasarkan permohonan.

“Kalau tak ada permohonan maknanya hanya cakap-cakap sajalah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Ismail, dalam Umno pemimpin parti bebas menyuarakan pandangan masing-masing.

“Jemputan itu daripada individu, individu dalam parti bebas bercakap tetapi tidak dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi,” tambahnya lagi.

Dua hari lalu dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysia Post Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu sedia mengubah keputusan pemecatan Muhyiddin sebelum ini.

Beliau secara perbadi turut menjemput Presiden Bersatu itu kembali pangkuan Umno bagi mengukuhkan parti dominan orang Melayu itu.

Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat itu berkata, Umno juga tidak mempunyai masalah jika Muhyiddin dicalonkan sebagai perdana menteri.

Pada 24 Jun 2016 Muhyiddin dipecat daripada Umno selepas tindakannya mengkritik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.