Hukuman Daniel diganti dengan khidmat masyarakat

0
2

HUKUMAN penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadap remaja yang sebelum ini tular kerana dimandikan seperti jenazah susulan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu digantikan kepada khidmat masyarakat.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Abd Halim Aman, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini yang mengenepikan hukuman dibuat Mahkamah Majistret Selayang terhadap Daniel Iskandar, 19, sebelum ini kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Memetik laporan Berita Harian, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini menjadi pemerhati bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Turut serta, peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie yang menjadi pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Minggu lalu, media melaporkan seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here