Kebakaran pelupusan sampah terburuk dalam sejarah Pulau Pinang

0
2

HAMPIR separuh daripada daerah Seberang Prai Selatan di Nibong Tebal, Pulau Pinang diselubungi kepulan asap tebal akibat kebakaran tapak pelupusan di Pulau Burung pada Rabu lalu.

Asap tebal yang berpunca dari tapak pelupusan itu jelas dilihat dalam radius 10 kilometer yang mengakibatkan pencemaran udara berikutan cuaca panas yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada Rabu kira-kira jam 5 petang.

“Buat masa ini, operasi pemadaman masih dijalankan, dengan keadaan terkawal.

“Masalahnya, walaupun api tidak lagi di permukaan, namun asap masih menyelubungi kawasan itu berikutan api masih marak di bawah tanah,” katanya memetik The Vibes

Saadon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di dalam tanah membabitkan kedalaman hampir 12 meter dan dijangka mengambil masa agak lama untuk diselesaikan.

Katanya, susulan kejadian itu, satu jawatankuasa khas terdiri daripada beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan turut ditubuhkan bagi memastikan ia dapat diselesaikan segera.

“Operasi pemadaman dilakukan lebih 50 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Sg Bakap, dan Bayan Baru yang turut berkampung di Pulau Burung sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata kebakaran itu merupakan kebakaran tapak pelupusan sampah terbesar dalam sejarah negeri ini.

“Dahulu pernah berlaku kebakaran di tapak pelupusan sampah di Ampang Jajar pada 90-an, dan di Jelutong pada 2010.

“Kami berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh tiga hingga empat minggu ketika itu, dengan kira-kira empat hingga enam hektar (kawasan tanah).

“Tetapi kebakaran di Pulau Burung adalah yang terbesar melibatkan kawasan seluas hampir 12ha. Jadi, kita belajar daripada pengalaman sebelum ini,” katanya.

Phee berkata, kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung sukar dikawal berikutan kedudukannya di tepi laut, selain ketiadaan hujan di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai rancangan untuk memindahkan penduduk berhampiran ke pusat pemindahan sementara sekiranya keadaan bertambah buruk.

“Terdapat kira-kira 400 penduduk membabitkan 85 keluarga yang tinggal berhampiran iaitu di Ladang Byram. Kami akan terus memastikan mereka selamat,” katanya.

Jumaat lalu, Sahabat Alam Malaysia meminta kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Prai dan Syarikat PLB Terang Sdn Bhd selaku pihak yang menguruskan tapak pelupusan sampah Pulau Burung segera menyelesaikan isu kebakaran di tapak berkenaan yang marak sejak Rabu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, asap busuk akibat pembakaran sisa pepejal memenuhi ruang udara seperti jerebu dan memasuki kawasan penempatan.

Antara kawasan yang diancam pencemaran udara ialah Kg Baru Byram, Kg Changkat, Kg Bagan Buaya, Kg Titi Hitam, Kg Pengkalan, Kg Jawi dan Taman Perumahan Desa Jawi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here