PRN, PRU perlu disegerakan kerana ugutan seperti dibuat Salahuddin

0
2
Khaled Nordin

PILIHAN Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu disegerakan kerana ugutan segelintir wakil rakyat untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Demikian kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa partinya akan menarik sokongan ke atas Perdana Menteri sekiranya PRN Johor tetap diadakan.

Menurut Mohamed Khaled, tiada Kerajaan boleh diugut sedemikian pada setiap masa dan dalam setiap keadaan.

“Mengadakan PRN Johor bukan satu tindakan tidak bertanggungjawab. Malah, inilah sebenarnya tanggungjawab. Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil.

“Bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apalagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut membidas ugutan Salahuddin itu dan menyifatkan sebagai bukan kepentingan untuk rakyat.

“Ugutan YB (Salahuddin) sebenarnya bukan demi kepentingan rakyat. Tetapi kerana PAN takut menghadapi pilihan raya dan menerima kekalahan. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka dan Sarawak telah sangat menghantui PH.

“Sama ada perlu atau tidak PRN Johor adalah sesuatu yang terpulang kepada budi bicara kerajaan Johor dan Istana Johor. Segala ugutan dan ancaman dari PH bukan faktor penentu untuk membubar PRN.

“Jika PH menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, BN akan bersedia untuk menghadapi PRU dan membentuk kerajaan baru tanpa perlu sokongan PH insya-Allah,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor menolak tanggapan bahawa tanggungjawab dan fokus terhadap kebajikan rakyat akan terabai jika berlakunya PRN.

“Sekali pun akan diadakan PRN, jentera kerajaan dan segala bantuan tetap beroperasi dan diagih seperti biasa. Tiada yang akan ditutup atau dihentikan.

“Tetapi yang menjadi masalah ialah bila kerajaan lemah dan tidak stabil. Usaha membantu rakyat dan menguruskan negeri akan terjejas sekiranya terus diancam kejatuhan seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau menambah, lebih 90 negara melaksanakan pilihan raya semasa pandemik, malah PRN Melaka dan Sarawak dijayakan semasa pendemik.

“Apa yang terhasil ialah kestabilan dan pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil dan tiada penularan wabak yang serius,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here