KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM150 juta untuk bantuan pasca banjir, termasuk di bawah inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata selain itu ia melibatkan baik pulih jalan perhubungan desa dan Ameniti Sosial seperti longkang, surau, dewan orang ramai dan masjid di kawasan luar bandar di negeri yang terkesan bencana itu.
“Bantuan pasca banjir yang diluluskan itu melibatkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di Kuala Nerang, hari ini.
Tambah Mahdzir, bantuan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia untuk kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta setakat 9 Januari lalu.
Peruntukan itu katanya, melibatkan kerja-kerja pembaikan sebanyak 1,879 rumah dan 165 pula melibatkan membina rumah baharu.
Katanya lagi, Kerajaan Keluarga Malaysia menetapkan kos siling bagi baik pulih rumah pasca banjir adalah RM15,000 dan RM56,000 bagi bina baharu setiap unit rumah yang rosak teruk.
Menurutnya, setakat ini KPLB menerima 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di negeri yang terjejas banjir.
“Jumlah permohonan membaik pulih rumah dan membina semula rumah itu dijangka meningkat selepas mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, sebanyak RM50 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih jalan kampung dan jalan perhubungan desa yang rosak.
“Kementerian juga menyediakan RM50 juta lagi untuk membaik pulih projek ameniti sosial seperti surau dan masjid,” katanya. – Malaysiapost

