Saya tak pernah didakwa, dihukum kerana mencuri – Najib

0
2

SAYA tak pernah didakwa atau dijatuhkan hukum mencuri atau merompak, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap satu lakaran kartun dimuat naik di Facebook dengan kapsyen: “Berani tak imam, mufti, menteri agama mahupun penunggang agama mandi jenazah untuk Najib kerana curi duit negara RM42 juta?”.

Mengulas mengenainya, Najib berkata beliau dihukum atas dakwaan salah guna kuasa sebab terlibat dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan kepada SRC pada tahun 2011.

Jelasnya, bukan beliau yang mengesyorkan ataupun mengemukan kertas Kabinet tersebut.

“Namun bulan lalu, satu dokumen 14 halaman disyaki adalah kertas siasatan rasmi SRPM memberitahu bahawa bekas menteri Kabinet yang mengesyor dan mengusulkan kertas Kabinet tersebut telah menerima RM85 juta dari Jho Low pada 2019 untuk disimpan dalam akaun proksi di Singapura.

“Bagaimanapun hakim tidak mahu terima bukti baharu ini walaupun ia membabitkan saksi pendakwaan. Pakatan Harapan (PH) juga senyap dengan pendedahan ini walaupun melibatkan dana besar yang disorok di luar negara.

“Akibat mesyuarat Kabinet 2011 itu, saya juga didakwa dan dihukum sebab saya dikatakan melanggar akta AMLA pada tahun 2014 dan 2015 setelah RM42 juta dari SRC dimasukkan dalam akaun saya tanpa pengetahuan saya di mana saya tidak pernah meminta atau mengarahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sehubungan itu Najib menegaskan beliau tidak pernah didakwa mencuri atau merompak, tidak sama dengan kes Lim Guan Eng yang didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu meminta atau menerima suapan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan – Criminal Misappropriation of property.

“Saya didakwa dan dihukum bawah AMLA – iaitu pengubahan wang haram apabila dana yang dikatakan haram keluar dan masuk akaun saya.

“Bukan curi dan rompak sebab wang bukannya untuk kegunaan peribadi saya atau keluarga. Semasa menjatuhkan hukuman, hakim juga kata bahawa dana RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah.

“Jika saya curi dan rompak, apa yang saya beli dengan hasil curian ini untuk diri sendiri atau keluarga,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu berkata perbicaraan mahkamah telah membuktikan sekurang-kurangnya RM642 juta adalah kemasukan dana daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang juga beliau telah gunakan untuk kerja CSR dan sedekah.

“Kenapa pula saya nak curi RM42 juta sekiranya yang RM642 juta pula yang saya boleh guna bagi peribadi sendiri, saya juga belanja untuk CSR dan sedekah?,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here