Daniel akan dibantu selepas jalani hukuman – Latiff

0
2

REMAJA lelaki yang dimandikan ala ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid akan dibantu selepas dia selesai menjalani hukuman yang sudah ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Daniel Iskandar, 19, perlu dibantu kerana dia bukan sahaja masih muda malah mempunyai latar belakang sukar yang menjadi penyebab terjerumus dalam kancah dadah.

“Saya sudah mengarahkan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) untuk mengesan Daniel selepas ini bagi melihat bagaimana dia boleh dibantu.

“Saya difahamkan Daniel ini mempunyai psikologi normal seperti yang lain cuma dia kurang bernasib baik mungkin kerana membesar dalam keluarga kurang kasih-sayang.

“Mungkin dia tidak seteruk seperti yang digambarkan,” katanya selepas Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah oleh MASAC, dipetik Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada jam 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, kes Daniel itu menjadi pengajaran untuk semua masyarakat mengambil iktibar dan membantu mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Penyalahgunaan dadah tidak berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang, mungkin seseorang itu mengalami kesukaran seperti keluarga berpecah atau kurang mendapat kasih sayang.

“Masyarakat perlu bantu dan memberi perhatian sekiranya mengesan dari awal lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here