LEBIH 12,000 kompaun telah dikeluarkan pada tahun 2021 kepada perokok yang ingkar merokok di premis makanan.
Pada masa sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 1,000 pemilik premis makanan dikompaun pada tahun lalu kerana gagal melarang aktiviti merokok di premis mereka.
“Bagi mereka yang melanggar larangan merokok di kedai makan dan restoran tahun lepas; lebih 12,000 kompaun dikeluarkan kepada perokok ingkar dan lebih 1,000 kepada pemilik premis.
“Kira-kira 67,203 premis telah diperiksa semasa aktiviti penguatkuasaan dijalankan,” katanya di Facebook, hari ini.
Dr Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan aktiviti larangan merokok di premis makanan.
“Sehingga akhir tahun 2020, terdapat 5,748 pegawai penguatkuasa di bawah Kementerian Kesihatan yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok, bersama-sama aktiviti lain di bawah pencegahan kesihatan awam seperti SOP Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

