Hentikan sebaran cerita, latar belakang Daniel – PPMM

0
2

PERSATUAN Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mahu semua pihak berhenti mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai Daniel Iskandar, remaja yang disyaki mencuri tabung masjid baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, Presiden PPMM, Zainul Rijal Abu Bakar berkata pihaknya merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian berkenaan.

Menurutnya, PPMM berpandangan adalah tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel, mahupun mana-mana pihak berkaitan untuk ia diteruskan di media sosial, terutama dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Isnin ini.

“Justeru, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co bagi pihak Daniel memohon jasa baik semua pihak untuk mengelak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menampilkan kekeliruan lanjut di pihak masyarakat awam, sehinggalah penyelesaian prosiding di Mahkamah Shah Alam tersebut.

“PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan memberikan kenyataan penuh yang
lanjut selepas selesainya prosiding tersebut kelak,” katanya.

Sementara itu Zainul Rijal berkata Tetuan Hariz Syakinah & Co telah dilantik oleh Daniel Iskandar untuk mewakili beliau, dengan bantuan PPMM.

Dalam masa sama, katanya, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co telah mendapat
makluman bahawa terdapat satu prosiding Semakan Jenayah ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam pada Isnin ini.

“Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakili Daniel, maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir di hadapan Mahkamah Tinggi Yang Mulia pada hari tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here