Polis siasat balai pasang bendera Malaysia terbalik

0
5

POLIS sedang menyiasat kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Balai Polis Simpang Lima, Parit Buntar, Perak, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, ketua balai polis terbabit tampil membuat laporan berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini seorang anggota sudah diambil keterangan berhubung kejadian itu.

“Kejadian ini turut tular di media sosial. Insiden itu wajar dijadikan iktibar kepada enam balai dalam pentadbiran ini supaya tidak cuai ketika melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai berhenti menularkan gambar tersebut dan perkara itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963.

“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak kira pegawai, anggota polis atau orang awam yang memasang bendera terbalik,” katanya.

Gambar Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik membabitkan sebuah balai polis di daerah itu mula tular di Facebook hari ini, namun ia dibetulkan kira-kira sejam selepas menyedari kesilapan berlaku. – Malaysiapost