
ISU pemuda yang dimandikan seperti jenazah yang tular baru-baru ini harus diberi perhatian pemimpin setempat, ahli parlimen dan jawatankuasa masjid tersebut berlandaskan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata sepatutnya ahli kariah yang fakir perlu diberikan bantuan sewajarnya.
“Pemimpin masyarakat dan Ahli Parlimen juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan tiada keciciran masyarakat di kawasan masing-masing. Jangan sibuk berpolitik hingga rakyat terabai.
“Hukuman yang adil perlu dilaksanakan kiranya disabitkan kesalahan. Namun begitu, keadilan yang ditegakkan haruslah dilaksanakan secara menyeluruh.
“Jangan pula cubaan mencuri duit tabung masjid cepat dihukum, tetapi mereka yang disabitkan mencuri duit kerajaan pula dilihat berlegar-legar bebas melakukan apa sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahir berkata, keadilan harus dilaksanakan tanpa memilih bulu kerana rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk pemimpin.
Jelas beliau, sepatutnya hukuman berbentuk mendidik perlu dibuat dan bukannya yang berbentuk menghina serta mengaibkan orang lain.
“Rakyat yang susah kita bantu, rakyat yang senang perlu membantu. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang sebenar,” katanya.
Terdahulu, remaja yang tular menerusi video dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Azman Abdullah yang mewakili Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, pemuda itu mencuri tabung masjid atas alasan mahu membantu membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.
Bagaimanapun, media melaporkan dakwaan Daniel Iskandar Mohd Nasir itu hanya rekaan semata-mata dan disahkan oleh datuknya sendiri.
Datuknya, Rosli Sidek, 65, tampil memaklumkan tidak perlu cucunya sampai menjadi pencuri kerana dia masih mempunyai wang berikutan mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor. – Malaysiapost
