KETUA Pemuda Amanah, Hasbie Muda akan membantu menjelaskan hukuman RM4,000 yang dijatuhkan terhadap pemuda yang tular dimandikan seperti jenazah kerana mencuri wang tabung masjid, baru- baru ini.
“Saya akan membantu keluarga remaja tersebut untuk bayar semua denda RM4,000 yang dikenakan serta belikan ubat kepada datuk beliau,” katanya di Facebook.
Hasbie mengulas insiden membabitkan Daniel Iskandar, 19, yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 selepas dituduh cuba mencuri tabung masjid.
Dalam masa sama, Hasbie menyifatkan tindakan ‘mandi jenazah’ yang dilakukan terhadap remaja lelaki itu dengan menyebarkan video itu sebagai amat keterlaluan.
“Maruah dan aib dia perlu dijaga. Apa hak AJK masjid perlakukan seperti itu?
“Hukuman penjara 10 hari sebenarnya lebih dari memadai,” katanya.
Hasbie berpendapat remaja yang ibu bapanya sudah bercerai sejak dia berusia lapan tahun itu sepatutnya diberi peluang kedua dan menyeru orang ramai untuk membantu keluarga remaja terbabit.
Untuk rekod, remaja berkenaan tinggal bersama datuknya berusia 70-an dengan makanan dan minuman disedekahkan oleh jiran.
Semalam, Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara 10 hari bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda RM4,000.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel antara lain berkata, anak guamnya yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid.
“Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.
“Dia cuba meminta kepada orang, tetapi mereka tidak boleh tolong,” katanya yang juga peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela). -Malaysiapost

