KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 57 kes baharu positif Covid-19 di negara ini, 51 daripadanya adalah penularan tempatan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu warganegara dan lima bukan warga Malaysia.
Katanya, daripada 51 kes penularan dalam negara, 45 adalah warganegara dan enam kes warga asing.
“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 10,276 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 751 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 49 kes hari ini direkodkan di Sabah dengan 14 kes daripada Kluster Pulau melibatkan 13 warganegara dan satu bukan warganegara.
Katanya, Kluster Selamat mencatatkan 12 kes, melibatkan 11 warganegara dan satu bukan warganegara.
“Masing-masing lima kes daripada Kluster Benteng LD dan Kluster Kuarters, iaitu kluster baharu di Tongod, Sabah,” katanya.
Turut dilaporkan, masing-masing dua kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Lahad Datu, selain dua kes daripada saringan tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort. – Malaysiapost

