KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menfailkan saman fitnah terhadap Lalitha Kunaratnam.
Lalitha, bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) berdepan tuntutan saman fitnah berikutan penerbitan satu artikel di sebuah portal agensi berita, pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.
Azam menfailkan saman fitnah itu menerusi peguam, Megat Abdul Munir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Megat, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas bekas penyelidik C4 terbabit gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) bertarikh 6 Januari lalu.
“Defendan (Lalitha) menerusi peguam sebaliknya mengeluarkan kenyataan di Twitter, dengan menyatakan bahawa beliau kekal terhadap dakwaan seperti dalam penerbitan artikel yang anak guam kami berulang kali tegaskan ia adalah suatu tuduhan fitnah.
“Justeru, anak guam kami (Azam) tidak mempunyai pilihan lain tetapi dengan memfailkan saman ini sebelum tempoh 14 hari dari tarikh LOD untuk menjaga nama baik, reputasi dan kedudukan profesionalnya.
“Justeru, anak guam kami hanya menggunakan haknya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan, untuk mencari penyelesaian bersesuaian di mahkamah Malaysia.
“Anak guam kami percaya bahawa saluran ini juga memberi hak dan peluang yang sama kepada defendan untuk mengesahkan dakwaannya, berbanding sekadar terbabit dengan perbicaraan oleh media,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Azam pernah memaklumkan beliau akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM, selain bagi memastikan dakwaan tidak berasas sedemikian tidak berulang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai, ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.
Mengulas lanjut, Megat berkata, anak guamnya tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit dan menaruh kepercayaan terhadap sistem kehakiman di Malaysia bagi mengendalikan perbicaraan secara seadilnya.
“Anak guam kami sekali lagi menegaskan bahawa SPRM komited untuk melindungi pemberi maklumat yang tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya. – Malaysiapost

