KKM mantapkan komponen pembedahan secara strategik.

0
2

PEMBEDAHAN global adalah satu komponen kesihatan awam yang perlu diberikan perhatian dan pandemik Covid-19 telah menghalang kemajuan yang dicapai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membangunkannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi menanganinya KKM telah menerima kunjungan hormat felo penyelidik Program Pembedahan Global dan Perubahan Sosial daripada Harvard Medical School, hari ini.

Menurutnya, pengukuhan agenda pembedahan global turut dibincangkan bagi memantapkan lagi sistem pembedahan untuk negara-negara ASEAN dalam memastikan kelestarian penjagaan pembedahan di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Bagi Malaysia, usaha untuk menyediakan penjagaan pembedahan di kawasan luar bandar telah bermula lebih awal lagi.

“Pada tahun 2018, KKM telah melaksanakan rangka kerja yang berstruktur, selamat dan berpatutan berikutan beberapa siri penglibatan bersama pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sejak projek perintis dimulakan pada 2019, tujuh negeri di Malaysia telah memulakan rangka kerja pembedahan global untuk meningkatkan ekuiti dan kebolehcapaian ke arah pembedahan selamat.

Beliau berkata, selain daripada rangka kerja itu, Malaysia juga telah menerajui inisiatif pembedahan global untuk meningkatkan akses dan ekuiti, khususnya di kalangan penduduk bandar, dengan bekerjasama dengan beberapa organisasi lain.

“KKM akan terus membentuk dasar yang selari untuk menyelaras, mengukuhkan dan memantapkan komponen pembedahan secara strategik.

“Ini agar kesihatan awam negara ini dapat dipertingkatkan dengan menyediakan perkhidmatan pembedahan yang selamat, berimpak tinggi dan kos efektif kepada negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, untuk mencapai matlamat ini, ia memerlukan kerjasama kolektif antara kementerian, agensi-agensi dan badan bukan kerajaan di dalam komuniti.

“KKM akan terus menggerakkan inisiatif ini untuk meningkatkan liputan kesihatan sejagat (UHC) untuk rakyat, sekaligus merealisasikan kelestarian pembangunan yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here