Bukan 11, tapi tiga harimau berkeliaran di kampung Orang Asli

0
2

HANYA tiga harimau belang dikesan berkeliaran di perkampungan Orang Asli, Gua Musang, Kelantan.

Ia disahkan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani yang berkata, setakat ini sejumlah harimau itu yang dikesan di Pos Bihai dan kawasan sekitarnya.

Pengesahan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat 11 harimau belang berkeliaran di perkampungan Orang Asli berkenaan.

Menurutnya, pasukannya akan terus membuat pemantauan dan memasang perangkap yang dilengkapi kamera di Kampung Tendrik dan Kampung Hak di Pos Bihai.

“Walaupun sudah memasang kamera, kita sukar menangkap gambar haiwan itu memandangkan ia bergerak dengan cepat dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Perhilitan dengan kekuatan 15 anggota akan terus berusaha menangkap harimau belang ini bagi mengelak ia terus mengganggu dan mengancam penduduk kampung.

“Selain itu, orang ramai diharap tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar kerana ia akan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya juga akan menempatkan anggota bagi memberi taklimat perkembangan setiap hari kepada penduduk Orang Asli bagi menghilangkan keresahan mereka.

“Kita juga sentiasa mengingatkan mereka untuk sentiasa berada di dalam rumah dan elak keluar ke hutan bagi menjamin keselamatan.

“Tidak tahu haiwan ini berada di lokasi mana, namun kita berharap ia dapat ditangkap dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lalu, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.

Lelaki itu dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul pada jam 9.10 pagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here