PM boleh pecat, rehatkan Azam Baki

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kuasa untuk memecat atau merehatkan Tan Sri Azam Baki mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kenyataan Azam bahawa tidak ada pihak yang boleh menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kecuali Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak tepat.

“Merujuk kepada laporan media, Tan Sri Azam Baki berkata bahawa beliau tidak akan berundur daripada jawatan disandang dan tiada mana-mana pihak boleh manamatkan tugasnya selain daripada Agong.

“Namun, berdasarkan Akta SPRM 2009, Seksyen 5, (3) Ketua Pesuruhjaya hendaklah, dalam tempoh pelantikannya sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya, memegang jawatan selama diperkenankan oleh YDPA, tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, ini bermakna sebarang keputusan memecat atau merehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu boleh dimulakan oleh Perdana Menteri seperti mana berpandukan undang-undang sedia ada hari ini.

“Kerana itu AMK berpendirian seperti yang dinyatakan ketika ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ di Putrajaya pada Isnin lepas bahawa Perdana Menteri seharusnya lebih berani untuk mempertahankan integriti.

“Beliau (PM) sepatutnya lebih proaktif untuk menyelesaikan kemelut ini dengan segera dan seterusnya membuat pindaan undang-undang agar proses perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu melalui proses Parlimen,” katanya.

Jelasnya, keengganan kerajaan berbuat demikian hanya akan mengheret negara dalam kancah ‘darurat integriti’ yang lebih teruk.

“Keengganan kerajaan bertindak dan sebaliknya cuba ‘menegakkan benang yang basah’ hanya akan terus melemahkan institusi SPRM serta membawa negara ke kancah ‘darurat integriti’ lebih mendalam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here