Kes kematian pengawal keselamatan dipindah ke Mahkamah Tinggi

0
2

KES kematian seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika bertugas di sebuah kondominium di Ipoh pada Disember 2020 hingga parah sebelum meninggal dunia 27 Ogos 2021, kini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membuat keputusan itu selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri.

Memetik laporan Astro Awani, tertuduh Ahmad Noor Azhar Muhammad, 34, yang didakwa membunuh pengawal keselamatan terbabit, turut dibenarkan menerima rawatan kesihatan.

Peguam, Ariff Azami Hussein memaklumkan anak guamnya itu sering batuk dan kehabisan ubat asma.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa membunuh pengawal keselamatan, S Thava Sagayam di Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, Ipoh, antara jam 8 pagi dan 9.30 pagi, 29 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan awal, dia didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.

Namun polis mengklasifikasikan semula kes susulan kematian mangsa dan Jabatan Peguam Negara bersetuju tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan pindaan Seksyen 302 KK pada 9 September 2021.

Pihak Mahkamah Tinggi dijangka menetapkan tarikh perbicaraan dalam tempoh dua atau tiga minggu.

Turut hadir di mahkamah, isteri mendiang Thava Sagayam, E Philomena, 59, bersama empat peguam pemerhati, M Kulasegaran, A Sivanesan, N Selvam dan Omar Kutty.

Dalam satu kenyataan media Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kejadian membabitkan pengawal keselamatan itu berlaku pada 29 Disember 2020 ketika mangsa sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium.

Menurutnya, kejadian berpunca apabila suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ditutup kepada orang ramai ketika itu.

Mangsa yang pengsan dan cedera di belakang kepala dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan sebelum meninggal dunia pada 27 Ogos 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here