PROSES perundangan selepas perceraian perlu adil kepada kedua belah pihak, bukannya hanya terhadap kaum ibu semata-mata, kata Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu, berkata beliau sayu apabila mendengar luahan kaum bapa berkaitan hak sebagai bapa terhadap anak apabila melalui proses penceraian.
“Semalam saya bertemu dengan wakil Persatuan Hak Bapa Malaysia. Sayu sangat apabila saya mendengar luahan mereka berkaitan hak sebagai bapa apabila melalui proses penceraian.
“Acapkali saya berhadapan dengan nasib si ibu yang diceraikan dan berhadapan dengan sikap suami yang lepas tangan. Cukup berbeza kali ini,” katanya menerusi Facebook.

Mas Ermieyati berkata, golongan itu berkongi pelbagai situasi dan cerita berhubung halangan dan kekangan yang dihadapi mereka untuk bertemu anak selepas perceraian.
“Ada yang bertahun-tahun tidak dapat bertemu dengan anak setelah bercerai kerana hak penjagaan diberikan kepada ibu. Walaupun ada ditulis boleh berjumpa tetapi tiada akses.
“Ada juga cerita si bapa nak jumpa anak tersangatlah susah kerana mendapat perintah daripada Mahkamah yang si bapa hanya boleh berjumpa dengan anak mereka di tempat dan masa yang di tetapkan.
“Lari sikit seperti mana yang diperintahkan, si bapa boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, ada juga yang berkongsi mengenai Ibu memberi tekanan terhadap anak-anak agar membenci kepada bapa mereka.
Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan anak kebingungan dan akhirnya berada dalam tekanan.
“Cuba bayangkan, budak umur 9 tahun boleh terfikir untuk cubaan membunuh diri disebabkan tekanan mental yang diberikan oleh Ibu mereka.
“Apa yang bapa inginkan hanyalah keadilan untuk memberi dan berkongsi kasih sayang mereka sebagai bapa walaupun kehidupan sebagai suami isteri berakhir, anak-anak tidak boleh menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, Persatuan Hak Bapa ini adalah badan memperjuangkan nasib bapa dalam mendaptkan keadilan untuk mereka.
“Mereka mengharapkan agar mahkamah di Malaysia boleh berlaku adil terhadap kedua-dua belah pihak dan bukan sahaja terhadap wanita,” katanya. – Malaysiapost

