HENDAK seribu daya, tak nak seribu dalih, begitulah pepatah tepat menggambarkan kesungguhan seorang lelaki memenuhi impiannya.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Shafiq Shaifullah di laman TikTok, dia telah berkongsi kenangannya yang gigih menabung selama setahun bermula dari Januari 2020 sehingga awal tahun 2021.
Menarikya, Shafiq telah menyediakan tabung khas bagi menyempurnakan misinya menyunting kekasih hati menjadi isteri yang sah.
Kelihatan di tabungnya itu tertera tarikh permulaan misi menabung itu dilancarkan, selain nama misinya.
“Start 7.1.2020. Shafiq love Fatin,” kapsyen di klip video TikToknya.
Berkat kegigihan disulami kesabaran mengharungi kerja siang dan malam, Shafiq berjaya mengumpul RM19,000 tunai, sekali gus dijadikan modal untuk berkahwin.
“Alhamdulillah, hari ni selamat pecah tabung kahwin walaupun dah lama kahwin,” kapsyen di klip video itu.
Alhamdulillah, pada Mac 2021 Shafiq dan pasangan sah bergelar suami isteri.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan usaha Shafiq itu menyimpan duit sebanyak itu dalam tempoh setahun.
Perkongsiannya itu mendapat pujian netizen yang teruja melihat kesungguhan Shafiq merealisasikan impiannya.
Malah, ramai pula yang meminta tips daripada Shafiq bagaimana caranya untuk memiliki disiplin kental dan kesungguhan menabung wang sebanyak itu. -Malaysiapost

