Saya menang saman, Alhamdulillah – Abu Syafiq

0
2

PENDAKWAH bebas Ustaz Abu Syafiq melahirkan rasa syukur berhubung kemenangan kes saman fitnahnya terhadap seorang defendan bernama Hamidah Rapaee.

Dia berkongsi perasaannya itu di laman Instagram yang memaklumkan kemenangan itu telah membersihkan arang yang terconteng di mukanya.

“Saya menang saman. Alhamdulillah. Hari ini 11/1/2022 Selasa selesai sahaja saya menunaikan ibadah Umrah.

“Team Peguam saya yang hebat dari Firma Guaman @hafidzahhassan telah memaklumkan keputusan mahkamah kes saman saya terhadap pemfitnah bahawa saya sebagai plaintif telah menang dan pemfitnah defendan kalah perlu mohon maaf secara terbuka dan bayar ganti rugi kepada saya.

“Tak sangka berita gembira ini saya dapat ketika saya berada di Kaabah Masjid Haram di Mekah. Terima kasih diucapkan kepada puan Nurul Hafidzah @hafidzahhassan dan teamnya yang hebat baik dan ceria,” katanya.

Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, mengarahkan Hamidah, seorang eksekutif kaunselor membayar pampasan RM100,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM20,000 kepada Abu Syafiq.

Hamidah telah memfitnah plaintif di laman media sosial Facebook dan melalui penyiaran video yang telah dimuat naik di Youtube.

Hakim Mahkamah Sesyen turut membenarkan injunksi melarang Hamidah mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Abu Syafiq diwakili oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan, Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors.

Keputusan kes saman sivil tersebut merupakan bukti kukuh yang mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Abu Syafiq yang laman Facebook beliau telah digodam dan beliau tidak pernah mengkafirkan seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Ebit Lew.

Ini kerana terdapat sorotan skrin yang telah disebarkan yang kononnya terdapat satu komen mengenai isu tersebut dibuat oleh Abu Syafiq, tetapi beliau tidak pernah mengeluarkan komen tersebut melalui laman Facebook atau mana-mana akaun media sosial beliau.

“Tidak lupa juga ribuan terima kasih buat semua ahli keluarga saya kerana mendoakan kemenangan ini. Allah makbul doa anda sekalian. Alhamdulillah.

“Buat pemfitnah dan pemimpin-pemimpin yang zalim, segeralah bertaubat sebelum terlambat,” kata Abu Syafiq. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here