SOP sambutan Thaipusam, Tahun Baru China sedang diteliti – Hishammuddin

0
2
KUALA LUMPUR, 11 Dis -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi sambutan Thaipusam dan Tahun Baru Cina semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedang diteliti bersama oleh semua pihak berkepentingan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata SOP itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Kementerian yang berkaitan selepas dimaklumkan kepada semua pihak berkepentingan (stakeholders).

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, berkata antara fokus dan keutamaan kuartet adalah untuk meneliti majlis-majlis yang berkait rapat dengan keagamaan.

Menurutnya, keutamaan itu kerana ia sememangnya penting buat penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.

“Sehubungan itu, hari ini pihak stakeholders bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) duduk semeja bagi membuat penelitian peringkat akhir SOP bagi perayaan Thaipusam yang disambut 17 Januari ini dan Tahun Baru Cina pada 1 Februari.

“SOP bersesuaian masih sedang diteliti bersama oleh semua pihak berkepentingan. Ia akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Kementerian yang berkaitan selepas dimaklumkan kepada semua stakeholders,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan dan rakyat susulan Malaysia kini di kedudukan ke-13 indeks pemulihan Covid-19 Nikkei.

“Kedudukan ini menunjukkan Malaysia di landasan tepat menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang lebih longgar.

“Usaha baik ini mesti berterusan dan kita tidak boleh cepat berpuas hati.

“Keutamaan kerajaan sekarang ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa Peralihan ke Endemik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here