Tukang cat lari tinggalkan pil kuda RM3.2 juta

0
2

Foto Kredit: Sinar Harian

DUA guni berisi 318,229 pil kuda bernilai RM3.2 juta ditinggalkan seorang tukang cat yang terjun melalui tingkap selepas diserbu polis di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat, Tumpat, Kelantan, Jumaat lalu.

Namun, suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berusia 46 tahun itu gagal meloloskan diri dan berjaya ditahan hasil kecekapan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan pada jam 9.20 malam, suspek lari dan terjun melalui tingkap rumah sebaik menyedari kehadiran polis.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan anggota polis yang sudah siap sedia menunggu di luar rumah.

“Pemeriksaan menjumpai 229 pil kuda atas lantai dalam sebuah bilik rumah berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, berpandukan suspek, dua bungkusan guni berisi 318,000 pil kuda ditemui di bahagian bawah rumah menjadikan keseluruhan 318,229 biji pil kuda dengan nilai RM3.2 juta dirampas.

“Siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan modus operandi menyeludup dadah menerusi Sungai Golok dan dibawa ke rumahnya sebagai lokasi transit sebelum diedar kepada pengedar kecil-kecilan.

“Suspek tinggal di rumah tersebut bersama ibu yang berusia 70-an dan dia didapati positif dadah jenis metamphetamine,” katanya.

Beliau tidak menolak suspek bergerak secara berkumpulan dan terbabit dengan sindiket berdasarkan jumlah dadah ditemui.

“Suspek direman tujuh hari bermula bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost