Era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir – Reezal Merican

0
2

SERAMAI 25 pakar dalam sektor perumahan dilantik sebagai Ahli Panel Berkepakaran (POE) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menangani pelbagai isu berkaitan perumahan.

Pelantikan itu disempurnakan oleh MenteriMenteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu majlis penyerahan watikah di Putrajaya, hari ini.

Menurut Reezal Merican, lantikan itu merupakan pendekatan berterusan KPKT dalam melihat secara holistik isu dan cabaran berkaitan perumahan serta mencari pendekatan yang boleh menyelesaikan atau merawat cabaran yang ada.

“Saya tekankan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Maka kita perlu sentiasa terbuka dengan idea dan cadangan baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat terbanyak lebih-lebih lagi soal kehidupan rakyat iaitu perumahan.

“Saya mahu lima cabaran dalam landskap perumahan ini dibincang iaitu ketersediaan rumah (availability), akses kepada pembiayaan (accessibility), kemampuan pemilikan rumah (affordability), kualiti perumahan (quality) dan daya huni (liveability).

“Kita mahu soal permintaan dan penawaran (demand and supply) ada titik keseimbangannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga mahu harga dan kemampuan membeli rumah kediaman berada pada tahap yang sepatutnya.

“Ya, ini semua cabaran kepada saya serta pasukan KPKT; dan kami komited untuk lihat perkara ini dengan serius.

“Saya yakin pasti ada pendekatan yang boleh memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam soal perumahan ini,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh yang turut bersama-sama dalam barisan panel berkepakaran itu.

“Khususnya kepada Tan Sri Ahmad Phesal Talib sebagai Pengerusi Ganti. Begitu juga nama-nama besar seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas Menteri dan kini Pengerusi Bursa Malaysia dan Tan Sri Arpah Abdul Razak.

“Bekas Ketua Setiausaha (KSU) KPKT; Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof, bekas KP ICU; Datuk Zamani Abdul Ghani, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara; serta Dr Suraya Ismail, Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute,” katanya.

Menurutnya, penghargaan juga diberikan kepada wakil-wakil dari akademia, persatuan pembeli rumah, persatuan pemaju, sektor perbankan, media berkaitan hartanah dan juga beberapa pemain industri yang lain.

“Saya meletakkan keyakinan bahawa panel berkepakaran ini akan dapat menyuntik idea dan strategi baharu dalam membawa ekosistem perumahan yang mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat.

“Saya tahu, ia adalah perjalanan yang masih jauh dan cabaran yang tidak pernah habis; dan saya mahu sinergi, integrasi dan usaha bersama semua pihak dijalinkan dalam usaha ini. Insya-Allah, kita cuba lakukan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here