Cari solusi baru selain i-Citra – MTEM

0
3

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong agar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra tidak dibenarkan untuk kali ketiga.

Felo Kanan MTEM, Azlan Awang dan Ahmad Yazid Othman, berpendapat cadangan i-Citra bukan hanya beri kesan kepada simpanan persaraan mereka yang membuat pengeluaran, tetapi juga pada pencarum lain.

Menurut mereka, bukan semua aset KWSP mudah dicairkan kepada tunai, kerana 96 peratus telah dilabur dalam bentuk bon, saham dan hartanah tempatan dan luar negara. 

“Jika aset berbentuk jangka panjang atau aset diluar negara, dijual dengan segera, maka nilai diperolehi kemungkian besar akan lebih rendah dan tidak optimum. 

“Ini akan beri kesan pada pulangan pada caruman secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Menurut mereka, berdasarkan statistik terkini selepas dua pengeluaran i-Citra sebelum ini, kebanyakan Bumiputera hanya akan mempunyai baki simpanan kurang daripada RM200 sebulan setelah mereka bersara.

“Satu daripada dua Bumiputera atau 50 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 di dalam akaun KWSP mereka ketika ini.

“Sekiranya i-Citra kali ketiga dibenarkan, jumlah Bumiputera yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 akan meningkat ke lebih 60 peratus,” katanya.

Felo Kanan MTEM itu bagaimanapun berpendapat, apa yang ditawarkan oleh kerajaan belum meyakinkan terutama sebilangan mangsa banjir, sama ada dari segi jumlah atau kaedah penyaluran bantuan, untuk mereka bangkit semula secepat mungkin.

“Mereka memerlukan kewangan yang besar untuk membaiki rumah; menggantikan peralatan dan perabut; membaiki kenderaan dan lain-lain. Bagi yang berniaga peralatan perniagaan juga perlu dibaiki atau diganti,” katanya.

Oleh itu menurut mereka, MTEM mencadangkan penambahbaikan bantuan itu dengan kerajaan memberi untuk setiap isi rumah sebahagiannya dalam bentuk bantuan tunai dalam lingkungan RM10,000.

“Sebahagian lagi bantuan berbentuk pinjaman tanpa riba (maksima RM25,000) dibayar balik dalam jangka enam tahun, dengan tahun pertama diberi ihsan seperti geran.

“Kunci utama kejayaan dan impak bergantung ini adalah kepantasan bantuan-bantuan ini diberi pada setiap mangsa yang terkesan,” katanya.

Menurut mereka lagi, sudah tiba masanya solusi lain dilaksanakan selain pengeluaran KWSP, merangkumi penggubalan dasar untuk membolehkan kerajaan memberi lebih banyak wang tunai kepada rakyat secara lansung dan pelupusan sebahagian hutang atau faedah hutang bagi semua jenis pinjaman bagi semua mangsa bencana.

“Sekiranya kerajaan mengalah dengan desakan (i-Citra) ini, ia bagaikan pepatah Melayu, harapkan pegar, pegar makan padi bagi kebanyakan pencarum KWSP dimana mereka akan dihambat kemiskinan yang lebih dasyat lagi, di masa depan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here