Langgar SOP, penganjur pertandingan tarian singa dikompaun

0
2

PENGANJUR pertandingan tarian singa sempena Tahun Baru Cina di sebuah pusat beli-belah di Puchong, Selangor, dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata pihaknya mengesan video tular di laman Facebook kelmarian, memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan itu.

“Dalam video itu memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan tersebut dalam keadaan tiada penjarakan fizikal.

“Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Puchong telah ke lokasi berkenaan jam 7.30 malam untuk membuat pemeriksaan dan mendapati ramai pengunjung berkumpul tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, semakan mendapati pihak penganjur mempunyai surat kelulusan permit sementara dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjurkan pertandingan berkenaan.

“Bagaimanapun kompaun RM1,000 tetap dikeluarkan kepada penganjur atas kesalahan melanggar SOP.

“Tindakan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Pengawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here