PERSATUAN Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berdiri teguh atas prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh proses undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan awam atau media.
Presidennya, Datuk Mazlan Mohamad, berkata persatuan itu juga mempunyai keyakinan tinggi ke atas sistem keadilan jenayah negara serta proses perundangan yang menjamin ‘maruah’ individu serta organisasi, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM memandang serius akan isu yang melibatkan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang dikatakan memegang jumlah saham yang besar dibeberapa syarikat senarai awam.
“Namun demikian tindakan pelbagai pihak terhadap Tan Sri Azam Baki secara peribadi dan institusi SPRM secara umum, juga dilihat keterlaluan serta seolah-olah Tan Sri Azam Baki dan institusi SPRM itu sendiri ‘bersalah’ atas tohmahan yang dilemparkan, sehingga boleh mengakibatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi tunggal pencegahan rasuah negara ini terjejas teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, oleh itu persatuan tersebut berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi ke atas isu berkaitan tetapi menanti keputusan siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam pada itu, pihaknya juga yakin PDRM dan SC akan menjalankan siasatan yang bebas, adil dan telus selaras dengan peruntukkan perundangan negara, serta menggesa agar kedua-kedua pihak tersebut dapat menjalankan siasatan mereka dengan segera.
“Persatuan ini juga memohon agar semua pihak sama ada yang berkepentingan atau sebaliknya menyokong penuh terhadap proses undang-undang negara dan bukan atas faktor emosi,” katanya.
Sementara itu, beliau menyarankan agar semua pihak terus memberi sokongan penuh dan kerjasama kepada SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah.
“Agar negara kita bebas dari perkara terkutuk ini serta terus membangun sebagai sebuah negara yang maju, aman dan makmur,” katanya. – Malaysiapost

