MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun tidak mahu ambil pusing berkenaan ura-ura akan digugurkan dari barisan Kabinet.
Sebaliknya beliau berkata akan terus fokus berkhidmat untuk rakyat dan menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.
“Kalau ikut ura-ura (digugurkan) dari tahun 2018 masa mula jadi menteri saya sudah dengar. Yang ini kita serah pada pucuk pimpinan.
“Fokus yang perlu kita berikan sekarang bagaimana mahu memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat.
“Sekarang masa untuk kita semua bangkit. Kita kena hidup dengan Covid-19. Kalau tidak kita tidak boleh buka ekonomi, bekerja seperti biasa. Kehidupan perlu diteruskan,” katanya kepada media hari ini.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai beberapa menteri akan digugurkan selepas sebuah portal tempatan melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melakukan rombakan kabinet.
Ia dikatakan berhubung kait dengan prestasi ditunjukkan menteri ketika mengendalikan banjir besar yang melanda negara.
Laporan portal berkenaan yang memetik sumber mendakwa, Rina bersama Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara datuk Halimah Sadique antara yang disebut-sebut akan digugurkan.
Susulan laporan itu, Ismail Sabri menafikan berkenaan rombakan Kabinet tersebut. – Malaysiapost

