‘Jangan layan sukarelawan MUDA seperti penjenayah’ – Syed Saddiq

0
2
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon polis tidak melayan sukarelawan parti itu seperti penjenayah.

Syed Saddiq berkata, seramai enam sukarelawan MUDA Johor disiasat polis kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) banjir dengan menghantar bantuan terus kepada mangsa tanpa melalui saluran tertentu.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau memohon maaf berhubung isu itu, namun menjelaskan pihaknya terpaksa bertindak demikian kerana mahu mempermudahkan urusan bantuan kepada mangsa banjir kerana tidak mahu ada yang kelaparan.

“Saya mewakili kepimpinan MUDA sejujurnya ingin mohon maaf. Tujuan kami bukan untuk menyulitkan keadaan kerana yang memohon (bantuan) pun rakyat di Johor sendiri, mangsa banjir.

“Namun, kenapa sampai nak gunakan polis untuk siasat sukarelawan yang kerja pagi sampai malam untuk sampaikan bantuan? Nak siasat, siasat saya. Yang minta pun, rakyat yang susah,” katanya menerusi Facebook.

Syed Saddiq berkata, Sukarelawan MUDA berkhidmat dengan niat baik untuk rakyat dan hanya menyampaikan amanah rakyat.

“Ada (mangsa banjir) yang sampai kelaparan kerana tidak dapat bantuan seperti dijanjikan, jadi tak kan lah nak tunggu sehari dua baru nak bertindak.

“(Bantuan segera) sehari atau dua mampu membawa perubahan yang besar sebab itu kita bertindak dengan cepat utuk pastikan bantuan ini terus sampai,” katanya.

Justeru, Syed Saddiq berkata, beliau harap polis menggunakan budi bicara terhadap enam sukarelawan MUDA yang dipanggil untuk disoal siasat.

“Mereka ini hanya berkhidmat untuk bantu mangsa banjir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here