AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa kerajaan menggunakan jawatan kuasa bebas bagi melakukan siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, ini kerana SPRM juga merupakan sebuah agensi bebas, maka untuk mendapat pengadilan yang adil, kerajaan tidak wajar menggunakan siasatan dalaman dari SPRM sendiri.
Justeru, Mohd Puad berkata, beliau berharap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut.
“SPRM agensi bebas. Agensi bebas kena siasat oleh badan bebas. Baru bebas namanya. Mana wajar agensi bebas seperi SPRM buat siasatan dalaman.Ia tidak akan jadi bebas.
“Apatah lagi kalau mahu menyiasat dakwaan salah laku terhadap boss SPRM. Diharap Kerajaan segerakan penubuhan RCI,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, ia juga bagi mengelakkan perbezaan pendapat dan keputusan seperti yang berlaku kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) semalam, apabila enam ahlinya menyangkal penjelasan Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang terhadap kes Azam.
“Sebab itu siasatan sebelah pihak oleh LPPR dipersoalkan. Tambah celaru bila enam ahli panel LPPR mendakwa kenyataan Pengerusinya TS Abu Zahar adalah pandangan peribadi.
“Celaru ini tidak boleh berterusan. Azam Baki berhak untuk lawan. Tetapi rakyat berhak dapat penjelasan dan tindakan yang telus dan adil,” katanya. – Malaysiapost

