Jemaah tidak divaksin: Jangan tuding jari pada syarikat pengendali umrah

0
2

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyangkal kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan jemaah yang tidak lengkap vaksinasi dijangkiti varian Omicron selepas pulang dari mengerjakan umrah.

Naib Presidennya, Mohd Azri Abd Razak, berkata perkara itu dianggap mustahil kerana pengendali syarikat umrah telah mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan umrah yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Arab Saudi.

“Pihak MATTA meminta pihak kementerian menyiasat perkara ini dan tidak menuding jari kepada syarikat pengendali umrah.

“Kenyataan Menteri Kesihatan itu mempunyai implikasi yang serius terhadap sistem visa kerajaan Arab Saudi sekali gus memburukkan pandangan masyarakat terhadap penggiat industri umrah di Malaysia.

“Kaunter imigresen dan kawalan keselamatan di lapangan terbang merupakan tempat semakan terakhir status vaksinasi bagi setiap pelancong atau jemaah ke luar negara.

“Jadi, mana-mana pihak yang terlibat harus dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh berkenaan penangguhan sementara ibadah umrah, Mohd Azri berkata kerajaan perlu mempertimbangkan semula langkah tersebut kerana ia memberi kesan negatif kepada agensi pelancongan dan jemaah sendiri.

“Pakej umrah yang terkini perlu dikaji semula kerana akan ada kos tambahan yang perlu ditanggung oleh agensi pelancongan mahupun jemaah pada masa akan datang.

“Sehubungan dengan itu, MATTA menyarankan agar Menteri Kesihatan mempertimbangkan semula pelaksanaan penangguhan umrah.

“Kerajaan harus bertanggungjawab atas kerugian yang bakal ditanggung oleh jemaah yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan umrah,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here