PH desak siasatan bebas terhadap Azam Baki

0
2
PUTRAJAYA, 21 Jun -- Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM akan menubuh satu pasukan khas bagi menyiasat semua aset-aset luar negara yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHAR.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki disiasat oleh satu badan bebas dan direhatkan sementara siasatan dilakukan.

Kepimpinan PH itu turut mendesak agar tindakan sama diambil terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, mereka menzahirkan rasa kesal dengan kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Mereka berpendapat kontoversi itu menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa, seperti kenyataan yang dibuat Transparency International.

“Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam, yang menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan (conflict of interest) melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden PH berpendapat, Pengerusi LPPR pula begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Malah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ianya akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam Baki tentang perkara ini demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia.

“Majlis Presiden berpandangan bahawa Perdana Menteri tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki,” katanya.

Kepimpinan pembangkang itu turut berpendapat, Azam perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM.

“Oleh itu, kami mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja Ketua Pesuruhjaya sedia ada, malah juga terhadap Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini.

“Pada masa yang sama, Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas tersebut selesai.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here