DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) menyeru kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak meneruskan pengeluaran i-Citra dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali ketiga.
Presidennya, Abdul Halim Husin berkata membenarkan pengeluaran baki simpanan itu bukan sahaja akan menambah derita pencarum dengan baki simpanan terlalu sedikit, tetapi tetap gagal merungkai masalah kewangan mereka.
Menurutnya, membenarkan pengeluaran juga tidak akan membantu Bumiputera kerana walaupun dari segi bilangan mereka adalah kumpulan pencarum terbesar KWSP, tetapi dari segi nilai tabungan, bukanlah sasaran kumpulan yang dapat dibantu dengan i-Citra 3.0.
“Lebih memburukkan keadaan, pengeluaran tabung amanah simpanan/pelaburan seperti KWSP berkali-kali sebelum tiba waktu matangnya tentunya akan memberi tekanan kepada KWSP untuk melabur secara lebih terancang, di samping menyukarkan mereka untuk menjanjikan pulangan/dividen yang lebih baik kepada pelabur.
“Meneruskan kehidupan selesa selepas tempoh bersara adalah cita-cita setiap warganegara Malaysia. Tiada sesiapa mahu bekerja membanting tulang seluruh daripada hidupnya.
“Dengan kenaikan kos sara hidup, kos penjagaan kesihatan serta purata usia yang semakin panjang, tabung simpanan KWSP adalah satu-satunya harapan buat bakal pesara yang mesti dijaga dan dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, Dewan Melayu juga mahu kerajaan meluluskan cadangan untuk meninggikan had bantuan pinjaman tanpa riba oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada RM25,000 bagi setiap isi rumah.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkata, bagi Tekun Nasional pula untuk menaikkan had bantuan mereka kepada RM15,000 untuk setiap peniaga yang terkesan oleh musibah banjir.
Selain itu, ujarnya, bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara, Dewan Melayu mahu kerajaan lebih tekad melaksanakan langkah ‘pre-emptive’ lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional. – Malaysiapost

