POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang kanak-kanak keluar dan berdiri di balkoni sebuah kondominium di Bukit Jalil semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff, pihaknya menerima laporan berhubung video kejadian yang tular itu pada jam 4 petang semalam.
Susulan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ Kuala Lumpur menjalankan siasatan berkaitan video tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak berusia lima tahun itu pergi ke rumah neneknya yang juga lokasi kejadian bersama keluarga untuk membuat persiapan majlis perkahwinan ibu saudaranya.
“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan anaknya seorang yang hyperaktif. Ketika kejadian mangsa keluar dari balkoni rumah kerana mahu melihat kolam mandi yang berada di tingkat bawah kondominium,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Saiful Annuar berkata, selepas kira-kira tiga minit, ibu bapa kanak-kanak itu yang masing-masing berusia 31 dan 34 tahun, berjaya memujuknya untuk masuk semula ke dalam rumah.
Katanya, kertas siasatan berhubung kejadian itu dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan informasi dari sumber tidak sahih dan yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Kami juga memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di ibu kota ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai berhampiran untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

