Imigresen pecah dinding ‘Rumah Merah’

0
2

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) terpaksa memecahkan dinding sebuah pusat pelacuran yang lebih dikenali sebagai ‘Rumah Merah’ di kawasan Jalan Silang, Kuala Lumpur dalam satu serbuan petang semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan jam 3.30 petang itu tindakan memecahkan dinding premis berkenaan dilakukan susulan penjaga premis mengunci pintu dari dalam.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita dan pelanggan dalam premis, namun tidak berjaya kerana premis ini telah dikepong.

“Penjaga premis mengambil tindakan mengunci pintu dari dalam bagi menyekat serbuan masuk dan tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu.

“Pegawai operasi terpaksa memecahkan dinding untuk masuk ke dalam premis apabila cubaan untuk membuka dan mengumpil pintu besi yang dikunci dari dalam tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya masuk, pegawai operasi mendapati premis itu telah dibuahsuai secara haram dengan binaan bilik untuk melayan pelanggan dan juga laluan rahsia.

“Keadaan dalam premis agak suram dengan penggunaan pencahayaan berwarna merah dan persekitaran dalam premis yang berbau serta kotor.

“Seramai 11 orang telah diperiksa dalam premis ini dengan tujuh wanita menyorok dalam bilik rahsia, tiga pelanggan menyorok di laluan rahsia dan penjaga premis menyorok dalam tangki air,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan berjaya menahan tujuh warga asing iaitu tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga India, seorang lelaki Nepal penjaga premis dan seorang lelaki Myanmar yang merupakan pelanggan di premis tersebut.

Menurutnya, empat notis untuk hadir memberi keterangan dikenakan kepada dua wanita tempatan pekerja di premis tersebut dan dua lelaki tempatan yang juga pelanggan dalam premis semasa serbuan dilakukan.

“Siasatan awal mendapati premis pelacuran ini menjalankan operasi dari jam 9 pagi sehingga 9 malam dengan bayaran antara RM30 hingga RM60 sekali langganan.

“Akuan lisan dari salah seorang pekerja wanita menyatakan setiap mereka menerima 10 sehingga 12 pelanggan sehari dan lebih ramai pelanggan pada hujung minggu.

“Setiap pekerja wanita juga dikenakan bayaran yuran sebanyak RM25 sehari untuk bilik, kondom, tisu dan pelincir. Bayaran ini perlu dijelaskan kepada penjaga premis setelah tamat waktu bekerja,” katanya.

Beliau berkata, atara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin atau sebarang aktiviti warga asing yang melanggar undang-undang supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here