RASUAH Busters mendesak Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melanjutkan siasatan terhadap isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata walaupun LPPR telah tampil memperjelaskan isu itu, namun ia sebenarnya mendedahkan jawapan yang mengundang lebih banyak persoalan kepada rakyat.
Justeru, katanya, kelemahan siasatan LPPR telah menimbulkan persepsi bahawa SPRM gagal berfungsi secara bebas.
“RasuahBusters menegaskan bahawa kontroversi peribadi tersebut langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang begitu teruk terjejas akibat salah laku para pegawainya pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara enam Tuntutan #RasuahBusters pada September lalu adalah SPRM bertindak sebagai institusi berintegiriti yang bebas dan telus.
Katanya, dalam rangka menuju ke arah ini SPRM sendiri perlu mempamerkan kredibiliti yang tinggi dalam membuktikan tadbir urus internal yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang menganggu gugat sistem
keadilan.
“Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.
“Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” katanya.
Justeru, katanya, RasuahBusters mengulangi pendirian bahawa Azam harus bertanggungjawab terhadap institusi itu dengan dengan berehat bagi membuka ruang kepada usaha pemulihan
“Perdana Menteri dan Parlimen juga harus bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM.
“Manakala rakyat sebagai kumpulan pendesak juga harus sedar bahawa sebarang “slanderous statements” terhadap insitusi awam boleh memprejudiskan sebarang tindakan untuk membawa pesalah kemuka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata, SPRM harus bebas sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan ini.
“Konflik ini tidak harus ditangani secara emosi. Kuasa di tangan kita adalah amanah besar agar seluruh ekosistem Negara ini ditadbir secara jujur dan tulus,” katanya. – Malaysiapost

