MESKIPUN banjir di Terengganu kian pulih, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata bagi tujuan itu 1,026 anggota melalui empat pasukan sudah bersiap siaga untuk diatur gerak ke seluruh Terengganu bila-bila masa.
“Ini tidak termasuk 182 anggota Tentera Darat Malaysia yang telah diatur gerak ke daerah terjejas banjir di negeri itu sejak hari pertama.
“Saya juga telah maklum kepada Menteri Besar, sekiranya terdapat sebarang keperluan tambahan, maklum terus sama ada kepada saya, Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat atau wakil-wakil ATM di PKOB (Pusat Kawalan Operasi Banjir).
“ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Hishammuddin menegaskan, sebanyak 204 pegawai dan 3,654 anggota lain-lain pangkat ATM terlibat dalam Ops Murni ke setiap negeri di seluruh negara.
“Sebanyak 474 aset merangkumi 18 trak 7 tan, 173 trak 3 tan, 29 trak 1 tan, 131 bot, 111 enjin bot, empat helikopter dan lapan lain-lain jenis aset.
“ATM ambil maklum, selain Terengganu terdapat sesetengah kawasan di negeri lain banjirnya juga telah surut dan sebahagian sungai mula menunjukkan trend penurunan.
“Biarpun ini perkembangan yang diharapkan, namun ATM memahami bahawa cabaran pasca banjir juga besar,” katanya.
Justeru, Hishammuddin berkata, ATM akan terus membantu mangsa bencana selepas pasca banjir.
“Atas sebab itu, sambil terus menumpukan terhadap operasi banjir di kawasan yang masih terjejas, fokus ATM seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri-negeri terjejas, sama seperti di Terengganu ini.
“ATM akan maklumkan perancangan khusus operasi pasca banjir di negeri lain dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

