Misi bantuan banjir AADK digerakkan ke seluruh negara 

0
3

MISI bantuan pasca banjir digerakkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK diperluas ke seluruh negara khususnya di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana alam tersebut. 

Inisiatif tersebut antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK dalam usaha membantu dan meringankan beban dihadapi mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak 17 Disember 2021. 

Menerusi kenyataan hari ini, AADK memaklumkan pada peringkat awal misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Antidadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terutama di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat. 

Namun begitu, katanya, berikutan banjir melanda di beberapa negeri dan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja-kerja sukarelawan pasca banjir. 

“Setakat 6 Januari lalu, 475 sukarelawan Skuad Antidadah AADK digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan. 

“Bagi Skuad Antidadah Seberang Prai Tengah Pulau Pinang, meskipun tidak dilanda banjir namun khidmat masyarakat tetap diteruskan yang mana Skuad Antidadah daerah berkenaan digerakkan ke negeri-negeri terjejas,” katanya. 

Menurut AADK, Skuad Antidadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said. 

Selain pembersihan di kawasan dan kediaman penduduk, Ismail bersama Skuad Antidadah AADK Kedah turut mengagih bantuan barangan kepada kira-kira 300 keluarga.  

“Ini termasuklah, sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim, mualaf dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). 

“Selain proaktif menambah jumlah keanggotaan sukarelawan, kekuatan Skuad Antidadah juga terus diperkuatkan khususnya melibatkan aspek kesiapsiagaan, skop tugasan yang sistematik dan penyediaan keperluan mengikut situasi semasa di lokasi yang terkesan dengan bencana alam tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here