Pecat menteri, timbalan menteri tak ‘perform’ lagi baik 

0
2

KERAJAAN seharusnya memecat 10 menteri dan 10 timbalan menteri yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik daripada menggugurkan atlet yang menjulang sukan negara tanpa ganjaran lumayan.  

Pandangan itu diluahkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong susulan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam mengumumkan 144 atlet negara digugurkan daripada program latihan kebangsaan. 

Pada masa sama elaun latihan atlet negara dikurangkan berikutan kurang peruntukan. 

Menurut Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, dana untuk menampung 144 atlet negara yang digugurkan itu boleh diperoleh daripada gaji menteri dan timbalan menteri yang gagal berfungsi menjalankan amanah mereka.  

“Lebih baik pecat 10 menteri dan 10 timbalan menteri bergaji besar dalam Kabinet gergasi yang gagal untuk berfungsi daripada menggugurkan atlet yang sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran lumayan. 

“Gaji menteri dan timbalan menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet kita dalam program latihan sukan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Antara yang digugurkan ialah pelari pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli yang mengalami kecederaan ligamen lutut sejak 2020 manakala selebihnya sedang mempertimbangkan untuk bersara, menyambung pengajian atau mencari peluang pekerjaan lain. 

Dalam pada itu, Steven membidas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana memberi jaminan kosong di Dewan Rakyat pada 29 November lalu bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan mengabai atlet dan persatuan sukan. 

“Jelas menteri telah menipu di Parlimen apabila hanya sebulan selepas jaminan beliau bahawa KBS tidak akan mengabaikan atlet, seramai 144 orang atlet digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan,” tegasnya. 

Sim juga mendakwa sebahagian atlet mengadu bahawa KBS tidak berunding dengan mereka sebelum membuat keputusan berhubung penamatan perkhidmatan tersebut. 

“Ini memperlakukan atlet kebangsaan kita seakan-akan ‘alat pakai buang’ yang boleh disingkirkan bila-bila masa begitu sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here