Foto: Facebook Anifah Aman
PRESIDEN Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman melahirkan rasa hairan, terkejut dan risau susulan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu pesakit positif Covid-19 dibenarkan keluar mengundi.
“Saya nak tanya, Shafie Apdal faham atau tidak apakah itu pandemik, apabila dia cadangkan supaya pesakit Covid-19 boleh keluar mengundi?
“Prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk Covid-19 bertujuan untuk mengasingkan pesakit daripada orang ramai kerana daya penularan begitu tinggi.
“Sanggup dia menggadai kesihatan ramai demi meraih undi, adakah Shafie Apdal buta hati dan begitu terdesak?,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Anifah seterusnya meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak tunduk kepada permintaan tersebut.
“Ya, mengundi adalah hak dan tanggungjawab semua, dan kita seharusnya memudahkan urusan semua yang layak.
“Jadi, pada pengamatan saya, KKM dan SPR sebaliknya harus membenarkan undi pos bagi pesakit Covid-19 yang dikuarantin,” katanya.
Beliau berkata, dengan cara itu, pesakit tidak perlu keluar hospital atau tempat kuarantin, juga tidak akan menggangu rawatan mereka dan paling penting tidak didedahkan dengan risiko menjangkiti orang lain.
Kelmarin, Mohd Shafie dilapor menyarankan SPR menyediakan ruang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pesakit Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata setiap rakyat berhak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan. – Malaysiapost

