SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai aspek dalaman berkaitan integriti yang dilaksanakan badan itu, bagi memastikan isu penyelewengan serta salah laku dalam kalangan pegawainya tidak berulang.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM mencadangkan 31 penambahbaikan tatacara kerja SPRM.
Katanya, antara cadangan itu adalah berkaitan ketidakpatuhan dalam pengendalian barang kes, kelemahan pengendalian dokumen penting dan pemeriksaan prosedur siasatan serta keperluan logistik.
“JKA bertanggungjawab untuk mengenal pasti kelemahan, tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan, selain memberi cadangan dan syor yang difikirkan patut mengenai tatacara kerja suruhanjaya.
“JKA bertanggungjawab memantau pengendalian oleh suruhanjaya berkaitan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai suruhanjaya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajya, hari ini.
Dalam pada itu, Abu Zahar berkata, SPRM melaksanakan tindakan paling maksimum dalam memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM (2021-2025) serta Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM, selain melaksanakan beberapa program pengukuhan integriti.
Katanya, SPRM juga menubuhkan satu cawangan khas sebagai langkah pencegahan untuk mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai disyaki terbabit jenayah.
“SPRM memberi jaminan tidak akan berdiam diri mengenai isu seumpama ini dan banyak perkara dilakukan termasuk memantau hidup mewah pegawai, memantau ketulenan pengisytiharan harta, ujian dadah dan ketum.
“Ia termasuk memantau kes membabitkan tahap hutang yang serius dan pegawai bermasalah yang dilaporkan Pengarah Bahagian atau negeri.
“Dalam hal ini, LPPR akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberi pandangan dalam membentuk suruhanjaya bersama pegawai yang berimej serta berintegriti tinggi,” katanya. – Malaysiapost

