LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam Baki yang mengakui tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham yang didakwa miliknya itu.
Menurutnya, panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial dan menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.
Abu Zahar berkata, Azam menjelaskan adik beliau, Nasir menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada 2015, lapor Berita Harian.
Jelasnya, Azam memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahu pun pemilikan saham berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini. – Malaysiapost

